Home »
» Majlis Amanat Pimpinan Halaqat Satukan Gerak Kerja Dakwah di Pasir Puteh
Majlis Amanat Pimpinan Halaqat Satukan Gerak Kerja Dakwah di Pasir Puteh
PASIR PUTEH, 1 Januari 2026 – Turut serta 4 orang pimpinan dan ahli halaqat telah menghadiri Majlis Amanat Pimpinan Halaqat bersama pimpinan peringkat kawasan Pasir Puteh yang berlangsung di Dewan Besar Pejabat Agama Jajahan Pasir Puteh hari ini.
Majlis ini bertujuan memperkukuh kesatuan saf, memperjelaskan hala tuju gerak kerja dakwah, serta menyuntik semangat baharu dalam kalangan penggerak halaqat agar terus istiqamah memikul amanah yang diberikan.
Antara pimpinan yang hadir ialah YB Dato’ Ustaz Haji Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Exco Pertanian, Industri Agromakanan & Komoditi Negeri Kelantan merangkap Ketua Dewan Ulama’ Negeri Kelantan dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selising. Turut hadir YB Nor Sham bin Sulaiman, ADN Semerak, serta Yang Berhormat Ustazah Nor Asilah binti Mohamed Zin, ADN N30 Limbongan.
Majlis ini juga disertai oleh pengelola dakwah halaqat Pasir Puteh, Wan Ab Rahman bin Wan Hamad, yang memainkan peranan penting dalam penyelarasan dan pelaksanaan program dakwah di peringkat akar umbi.
Dalam ucapan-ucapan yang disampaikan, para pimpinan menekankan kepentingan kesatuan, keikhlasan dalam berkhidmat, serta keperluan untuk terus memperkasa ilmu, tarbiyah dan penghayatan nilai Islam dalam masyarakat. Para peserta turut diingatkan bahawa tugas dakwah bukanlah tanggungjawab individu semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan secara berjemaah dan tersusun.
Majlis amanat ini diharapkan menjadi titik tolak kepada pengukuhan peranan halaqat sebagai nadi utama dalam menyampaikan risalah Islam serta membina masyarakat yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.







No comments:
Post a Comment